Thursday, September 5, 2019

Cara Menghadapi Masalah


Image result for Stress meme

Assalamualaikum kepada semua pembaca. Sepanjang berada di Kursus Kepimpinan Pembimbing Rakan Dinamik PRD Kebangsaan di Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan pada 19-22 Julai 2019 yang lalu, pelbagai pengisian yang begitu bermanfaat telah saya perolehi yang dikongsikan oleh para pensyarah Kaunseling dari pelbagai kolej matrikulasi. Salah satu daripadanya adalah suatu slot yang berkaitan dengan perkara yang perlu dilakukan sewaktu ditimpa masalah. Sewaktu di slot ini, kami diberikan kertas dan disuruh menyenaraikan masalah-masalah yang dihadapi sewaktu berada di kolej matrikulasi. Ada di antara peserta yang menulis masalah untuk menggosok baju, masalah kerja sekolah bertimbun, masalah tak ada “data connection” nak belajar, masalah tidur tak cukup, masalah tak ada “mood” nak belajar dan sebagainya. Walau agak lucu namun realitinya masalah ini memang wujud.

Majlis penutup kursus PRD Kebangsaan 2019
Masalah pada asasnya sesuatu perkara yang dirasai oleh semua manusia sepanjang masa. Semua manusia adalah sama dalam menghadapi masalah namun perbezaannya adalah bagaimana cara seseorang itu mengatasi masalah yang dihadapi. Sekiranya masalah ditangani dengan baik, maka masalah yang datang insya Allah boleh membawa kepada kebaikan manakala sekiranya tidak diatasi dengan cekap, maka ia mampu menjerut diri sendiri. Sejujurnya memang susah untuk kita menghadapi masalah, apalagi apabila sesuatu masalah yang memaksa kita untuk meninggalkan sesuatu yang kita cintai. Akan tetapi setiap masalah dan musibah yang hadir dalam kehidupan kita adalah cara oleh pencipta untuk menjadikan diri kita menjadi lebih baik. Jadi sedikit ringkasan cara menghadapi masalah mengikut turutan akan saya kongsikan di bawah:

1) Set minda
Apabila datangnya masalah, jangan terus bersikap negatif. Bersahabatlah dengan masalah. Jangan cepat membuat tanggapan tentang masalah tersebut;

2) Menyembunyikan masalah
Masalah bukanlah sesuatu yang perlu diketahui umum. Sekiranya anda mempunyai masalah, bersegeralah berjumpa dengan orang yang lebih arif untuk membincangkan masalah anda Tidak semuanya harus dikongsikan melalui perkongsian di “status” whatsapp atau “story” Instagram. Cukuplah kita seorang saja yang tahu atau orang-orang yang lebih arif;

3) Ikhlas dan reda dengan ujian
"Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." (Al-Baqarah 2:216)

4) Prevention – Berdoa
Daripada anda mengkritik atau mengeluh akan masalah yang menimpa, adalah seeloknya anda berdoa iaitu dengan mengucapkan “La ila hailla anta subhanaka inni kuntumminadzolimin”.
Maksud :”Tiada Tuhan melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau, Sesungguhnya aku adalah dari pada orang-orang yang menganiaya diri sendiri. Doa ini merupakan doa yang dibaca oleh Nabi Yunus sewaktu berada di dalam perut ikan. Maka dengan doa ini, Allah berfirman: “Maka Kami kabulkan permohonan doanya dan Kami selamatkan dia dari kesusahan yang menyelubunginya dan demikianlah kami selamatkan orang-orang yang beriman.” [al-Anbiya’ 21:88] (Penerangan tentang rahsia doa Nabi Yunus) Di pautan biru ini saya sertakan beberapa doa yang berkaitan yang boleh diamalkan.

5) Mohon perlindungan diri
“O Allah! Purify my heart from hypocrisy, my deeds from any kind of Ria (boasting), my tongue from lying and my eye from treachery. For indeed only You know the treachery of the eyes and what lays hidden in the breasts.”
Maksud : “Wahai Allah! Bersihkan hatiku dari kemunafikan, perbuatan saya dari apa saja ria’ (menunjuk), lidah aku daripada menipu dan mata aku daripada pengkhianatan. Sesungguhnya hanya Engkau tahu pengkhianatan mata dan apa yang tersembunyi di dalam dada.”

6) Mengucapkan kalimah istirja ketika mendapat musibah
Diajarkan dalam ayat berikut, "(Yaitu) orang- orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan inna lillahi wa inna ilaihi raji'un” (QS. Albaqarah:156) serta diajarkan juga oleh Nabi Muhammad SAW dalam sabdanya, "Apabila kamu diberi musibah oleh Allah, maka ucapkanlah doa "Allahumma ajirni fi musibati wa akhlif khairan min ha,” (Ya Allah, berilah aku pahala dalam musibah ini, dan gantikanlah bagiku dengan sesuatu yang lebih baik daripadanya)” (HR. Muslim, Ibnu Majah. Malik, dan Ahmad bin Hanbal)

7) Tenang dan tidak tergesa-gesa
Nasihat daripada pensyarah tersebut , “tenangkan diri apabila menghadapi masalah. Jangan terlalu cepat melenting dengan masalah yang menimpa. Ingatlah bahawa semua masalah adalah dalam aturan Allah. Kesilapan manusia pada hari ini adalah mereka mengadu kepada sesama makhluk bukan kepada Allah. Mereka tidak sedar bahawa yang mendatangkan masalah itu adalah Allah dan bukan suka-suka Allah untuk mendatangkannya. Setiap yang berlaku mempunyai hikmah tertentu. Jadi, mengadulah kepada Allah sebelum mengadu kepada manusia.”

8) Sabar dan solat
"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;
(Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya." Al Baqarah (2:45-46):

9) Jangan memperbesarkan masalah

10) Beristighfar dan bersedekah
Bertakwalah kepada Allah dengan melaksanakan segala titah perintah-Nya seperti solat dan ibadat-ibadat sunat yang lain. Ini kerana ia adalah penyelesaian kepada masalah tersebut. Allah SWT berfirman:
“Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya)”. (Surah al-Talaq: 2-3)

Ibn Kathir berkata: "Maksudnya, sesiapa yang bertakwa kepada Allah dalam seluruh perintah-Nya dan menjauhi seluruh larangan-Nya, maka Allah akan menjadikan baginya jalan keluar dan memberikannya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka. Iaitu dari arah yang tidak pernah terlintas dalam hatinya." (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 14/31) (selanjutnya lihat di sini..)

12) Jangan mendatangi sesuatu yang haram @ memudaratkan orang lain
Usah mengaitkan orang lain dalam masalah kita. 

13) Memelihara hati agar menjadi baik
Pensyarah daripada kolej berkenaan menyarankan supaya kami sentiasa membaca surah Al Insyirah dan doa ini, “(Rabbish rahli sadri. Wayassirli amri. Wahlul uqdatam millisani. Yafqahu qauli). Maksudnya: Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku, dan mudahkanlah bagiku urusanku, dan lancarkanlah lidahku supaya mereka faham ucapanku."

 Image result for surah al insyirah terjemahan
Mengenai doa ini, saya teringat akan suatu ceramah oleh Ustaz Abdul Somad yang berbicara tentang doa ini. Katanya,  “Sebenarnya bahagia itu macam mana? Apabila dibaca kitab, makna bahagia adalah ketika hati terasa lapang. Walau ada petani yang berada di rumah tua hatinya lapang, tentulah dia bahagia. Disebabkan itulah Nabi Musa meminta kelapangan hati (iaitu menerusi doa tersebut) daripada Allah ketika menentang ayah angkatnya, Firaun. Walau kaki baginda pecah, gigi-gigi patah namun baginda tersenyum bahagia.” Kata beliau lagi, “Bila kita nampak raut wajah orang yang tenang cerah, maka ketenangan bukan pada wajahnya, bila nampak orang melangkahkan kaki dengan tenang, penuh wibawa, maka ketenangan bukan pada kakinya, bila tampak ayunan tangannya tak tergesa-gesa, maka bahagia bukan pada tangannya. Di mana letaknya bahagia itu? Ketahuilah dalam jasad ada segumpal daging, yang mana apabila segumpal daging itu baik, maka yang lain akan ikut jadi baik, jika yang segumpal itu rosak, maka dia pun akan ikut rosak. Yang segumpal itulah yang mengendalikan mata, tangan, telinga dan kaki. Di segumpal itulah bersemayamnya rindu, benci, redha,hasad, fasik, dan kufur.

Menurut beliau lagi, hati kita sentiasa berbolak-balik,tidak selalunya bahagia. Kadang pagi hatinya tenang, petang dating, hatinya susah. Kadang pagi hati lapang, pagi dating, hati gundah. Maka apa yang dapat menolong? Ala bizikrillah. Ketahuilah dengan banyak mengingat Allah, maka hati akan menjadi lapang.  Hati orang yang beriman berada di kuasa jari-jemari kuasa rahmat. Kalau Dia hendak, dibalikkan yang senang menjadi susah.”
Maka dengan itu, pohonlah kelapangan hati agar hidup sentiasa bahagia.  

Semoga perkongsian di atas mampu membantu anda semua dalam menghadapi masalah-masalah yang mendatang. Ingat, berkawanlah dengan masalah!














0 comments:

Post a Comment